Tuesday, August 18, 2015

SINAR HARIAN - 21/2/2014 - BERCANGGAH FITRAH LELAKI

SHAH ALAM - Sutera sememangnya hanya dikhususkan kepada golongan wanita sahaja dan diharamkan untuk lelaki, kata penceramah, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz.

Katanya, sutera diharamkan bagi orang lelaki kerana ia bercanggah dengan fitrah lelaki.

"ALLAH SWT menjadikan fitrah sifat orang lelaki itu kasar, dan fitrah wanita itu lembut dan halus.

“Sebagaimana yang kita tahu, sutera adalah kain yang sangat lembut, maka ia tidak sesuai dengan sifat kejantanan, tetapi ia sesuai dengan kelembutan wanita,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Katanya, hukum asal bagi memakai sesuatu pakaian adalah harus, sehinggalah datangnya dalil yang melarang pemakaian sesuatu jenis pakaian itu kepada lelaki.

“Jika kain yang digunakan untuk membuat pakaian adalah 100 peratus daripada sutera, maka ianya haram dipakai oleh kaum lelaki yang telah baligh.

“Tetapi peratusan sutera lebih sedikit dari campuran yang lain, jadi hukumnya harus memakainya dan lelaki boleh memakai sutera sekiranya sutera itu adalah tiruan,” katanya.

Menurutnya lagi, secara umum perkara yang haram boleh menjadi harus bergantung kepada keadaan yang mendesak individu itu terpaksa melakukan perkara yang haram.

“Dalam segi pemakaian sutera, ada beberapa keadaan yang mengharuskan lelaki memakainya ketika darurat seperti hanya ada sehelai sahaja pakaian untuk bersolat.

“Walaupun pemakaian sutera ini dikhususkan hanya kepada wanita, tetapi jangan sampai mendatangkan hukum haram seperti menunjuk-nunjuk dan pakaian itu mendedahkan aurat,” katanya.

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan hampir 90 peratus batik sutera yang dipakai oleh lelaki di Malaysia adalah batik yang diperbuat daripada sutera tulen.

PPIM menggesa masyarakat lelaki Islam di negara ini prihatin akan pakaian yang dipakai terutama ketika majlis rasmi atau hari-hari tertentu yang diwajibkan memakai pakaian dari jenis tersebut.




No comments:

Post a Comment