Tuesday, August 18, 2015

UTUSAN MALAYSIA - 15/3/2014 - AMALAN BIAYAAN RUMAH ANIAYAI PENGGUNA – PPIM

KUALA LUMPUR 14 Mac – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa wujud amalan tidak sihat dalam sistem pinjaman perumahan oleh kebanyakan bank di negara ini yang menyebabkan pengguna menjadi mangsa.

Hasil kajian selama dua tahun yang dilakukan oleh persatuan tersebut mendapati pihak-pihak seperti peguam dan pemaju ‘dilepaskan’ daripada menerima surat tuntutan daripada bank jika projek perumahan di bawah kendalian mereka terbengkalai.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tekanan atau bebanan tuntutan tersebut terus diletakkan di atas bahu pengguna sedangkan wujud aku janji yang diberikan oleh pemaju perumahan dan peguam cara pinjaman kepada pihak bank.

Kata beliau, antara kandungan aku janji berkenaan ialah jaminan peguam dan pemaju perumahan akan membayar kembali wang yang telah dikeluarkan dan dibayar oleh bank semula kepada mereka jika projek perumahan terbengkalai atau tidak siap.

“Tetapi dalam banyak kes, perkara ini tidak berlaku. Kebanyakan bank tidak mengambil tindakan ke atas pemaju atau peguam apabila wujud masalah dalam sesuatu projek perumahan.

“Tindakan atau tuntutan terus ke atas pembeli sekali gus telah menganiaya mereka.” Katanya dalam sidang akbar yang turut dihadiri aktivis PPIM, Sheikh Abdul Kareen S. Khadaied di Kondomunium Vill Puteri, di sini hari ini.

Menurut Nadzim, pihak bank sepatutnya membuat tuntutan terhadap pemaju perumahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuntutan atau memfailkan sama ke atas pembeli.

Beliau berkata, amalan yang berlaku tersebut amat tidak sihat kerana ramai pengguna yang bankrap dan kehilangan kerja.

Sehubungan itu, katanya, PPIM mendesak pihak yang berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melihat perkara berkenaan kerana is dianggap sebagai satu pencabulan hak pengguna.

“Kita juga akan membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) dan Majlis Peguam,” katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Abdul Kareen berkata, amalan yang berlaku itu mesti dihentikan segera kerana ia seolah-olah menganaktirikan pengguna dan apa yang terkandung dalam terma perjanjian jual beli perumahan mesti diikuti.

“Kita ada kes pengguna aktif seperti pegawai tentera dan penguatkuasa yang terpaksa diberhentikan kerja kerana dibankrapkan akibat membuat pinjaman perumahan tetapi ia terbengkalai atau tidak siap,” katanya.

Artikel menarik :




No comments:

Post a Comment