Monday, August 24, 2015

BATIK SUTERA ASLI HARAM DIPAKAI LELAKI ISLAM

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Golongan lelaki Islam diingatkan supaya lebih berwaspada ketika membeli kain batik sutera kerana kira-kira 90 peratus kain batik jenis itu di pasaran diperbuat daripada batik sutera asli.

Kain batik yang diperbuat daripada 100 peratus kain sutera adalah haram dipakai oleh lelaki Islam berdasarkan kepada hadis Rasullullah SAW.

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Sheikh Abdul Kareem S. Khadaied berkata, ramai lelaki Islam masih beranggapan mereka tidak memakai kain batik diperbuat daripada kain sutera asli disebabkan harga yang dibeli di pasaran adalah murah.

Kain sutera sering dianggap sebagai kain yang mahal, tetapi harga bukan merupakan factor terpenting mengukur sesuatu kain sutera itu.

"Ada juga kain daripada sutera asli yang dijual pada harga murah. Malah, masih ramai menyangka mereka tidak memakai kain sutera asli disebabkan harganya murah, tetapi sebenaknya kain tersebut adalah 100 peratus sutera iaitu diperbuat daripada campuran dengan ula sutera (mulberi),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akbar bagi mendedahkan perkara tersebut di Kondiminium Villa Puteri, disini hari ini.

Sheikh Abdul Kareem yang juga merupakan Ahli Majlis Batik Antarabangsa berkata, terdapat tiga jenis kain sutera asli berkod 14366, 14101, 12102 yang banyak dipakai lelaki Islam di negara ini adalah haram kerana diperbuat daripada 100 peratus sutera.

Tambahnya, kesedaran lelaki Islam terhadap perkara tersebut juga amat rendah kerana didapati masih ramai memakai baju batik yang diperbuat daripada kain sutera asli.

“Kita bimbang kerana masih ramai dalam kalangan ahli politik, kakitangan awam, golongan agama dan masyarakat awam masih memakai kain sutera asli itu di majlis besar dan penting,” jelasnya.

Sheikh Abdul Kareem turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan kain batik sutera yang dicampur dengan kain line atau kain kapas sebagai alternatif.

“Kain sutera campuran dengan kain linen atau kapas boleh dipakai oleh mereka. Cuma kain yang diperbuat 100 peratus daripada sutera asli adalah haram dipakai oleh lelaki islam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan pihak Kraftangan Malaysia supaya memandang serius mengenai perkara ini disebabkan masih ramai yang belum sedar mengenai isu tersebut.

“Jakim perlu mengeluarkan kenyataan dan memandang serius agar golongan lelaki Islam lebih sedar mengenai perkara ini.

“Begitu juga Kraftangan Malaysia perlu menggesa pengusaha kain batik untuk meletakkan label pada setiap kain yang diperbuat daripada sutera asli untuk memudahkan pembeli mengenal sesuatu kain itu,” tegasnya.

Artikel menarik :




No comments:

Post a Comment