Wednesday, August 26, 2015

SINAR HARIAN - 19/12/2013 - INDIVIDU MUFLIS DIBANTU


NINA FARZUIN MD SHAROM

KUALA LUMPUR – Individu yang diisytiharkan muflis akibat ditipu atau sebagai penjamin sosial disarankan menyertai Sekretariat Bebas Muflis untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, setakat ini hanya 30 peratus daripada jumlah sebenar individu berstatus muflis berdaftar dengan Jabatan Insolvensi dan selebihnya hanya memencilkan diri.

Katanya, beliau mengalu-alukan mereka yang terlibat untuk berdaftar dengan sekretariat ini supaya kita boleh mencari jalan penyelesaian.

"Masalah tidak akan selesai dengan menyembunyikan diri.Sekretariat berperanan sebagai penghubung antara golongan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia dan pada masa yang sama menjadi platform membantu mereka mendapat pembelaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, penubuhan sekretariat ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memberi jaminan untuk memberi peluang kedua kepada golongan muflis yang teraniaya atau sebagai penjamin sosial .

“Setakat ini sekretariat telah mengendalikan sebanyak 100 kes yang berdaftar di mana sepuluh daripadanya telah berjaya diselesaikan.

“Bagaimanapun, untuk menyelesaikan status tersebut ia perlu dilakukan secara berperingkat. Apa yang penting mereka yang benar-benar serius mahu menyelesaikan perkara ini perlu berdaftar,” katanya.

Sohaimi turut mengumumkan Siri Jelajah Taklimat & Penerangan Bebas Muflis yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) bermula 7 Januari depan

“Menerusi jelajah pertama ini, kami akan ke seluruh negara bermula di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan berakhir pada 27 April di Perak.

“Individu yang menghadapi masalah sama boleh mengambil peluang ini untuk turut serta dan berdaftar dengan sekretariat,” katanya.

Katanya, pendaftaran Sekretariat Bebas Muflis boleh dibuat menerusi laman sesawang www.bebasmuflis.com bagi memudahkan pengumpulan maklumat dilakukan.

Tambahnya, siri jelajah ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan keutamaan diberikan kepada mereka yang telah disahkan muflis atau dalam proses pengesahan mahkamah.

Artikel menarik :

Bagaimana Nak Hidup Jika Tidak Meminjam?



No comments:

Post a Comment