Friday, October 23, 2015

UTUSAN MALAYSIA - 23/10/2015 - PERBANKAN ISLAM 
TIADA ‘ROH ISLAM’, ZALIM?


Oleh AMIRUL AIMAN ANUAR

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Perbankan Islam yang diamalkan oleh bank-bank dalam negara didakwa tidak mempunyai ‘roh Islam serta zalim’ dan menekan pelanggan-pelanggannya di sebalik nama institusi perbankan itu.

Perkara tersebut disuarakan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nad­zim Johan yang kecewa dengan perkara sedemikian selain bimbang pelanggan tidak menyedari praktis bank yang mengambil kesempatan.

Katanya, antaranya amalan bank terbabit adalah mengenakan syarat yang terlalu berat sebelah dan pelanggan seolah-olah terpaksa menye­rahkan segala hak mereka di tangan bank yang boleh bertindak apa sahaja tanpa kebenaran pelanggan.

“Nyata dan jelas Islam menentang apa jua jenis kezaliman dan ketidakadilan secara habis-habisan dan pelbagai aduan diterima berkaitan tindakan yang tidak munasabah dan tidak berjiwa Islam.

“Perkara ini tertulis dalam kan­dungan perjanjian semasa pembukaan akaun yang mana terdapat kuasa yang memberi hak kepada bank untuk meminda sebarang perubahan tanpa persetujuan pelanggan terlebih dahulu. Namun demikian, saiz tulisan kandungan perjanjian yang terlampau kecil boleh dipertikaikan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Pelanggan Perkhidmatan Kewangan Malaysia (Pebank), Sheikh Abd. Kareem Said Khadaied dan Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.

Sementara itu, Sheikh Abd. Kareem berkata, institusi kewa­ngan Islam negara yang diselia Majlis Penasihat Syariah (MPS) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) perlu meneliti kembali syarat dan kuasa oleh bank-bank yang menyediakan perbankan Islam.

“Beberapa amalan daripada pihak bank dilihat tidak beretika serta telah tersasar daripada matlamat sebenar dalam mengangkat institusi perbankan berlandaskan hukum syarak dalam perniagaan mereka.

“Sebagai contoh, perjanjian sebelum sesuatu akad perniagaan atau persetujuan mestilah jelas dan tiada syarat tersembunyi. Perkara ini termaktub dalam syarat-syarat yang dikeluarkan oleh MPS,” katanya.

Sheikh Ahmad Dusuki pula menggesa BNM supaya mengatasi permasalahan itu yang telah wujud sekian lama dengan menstrukturkan kembali institusi kewangan Islam negara bagi mengelak penindasan terhadap pengguna.

Katanya, apa yang dipertikaikan adalah persetujuan perjanjian yang terpaksa diikuti pelanggan yang di lihat hanya menyebelahi pihak bank sementara pelanggan pula terpaksa menerima tanpa persetujuan.

Tuesday, October 20, 2015

NASIONAL - 2/9/2014 - RAMAI PEMBELI RUMAH JADI MANGSA PENIPUAN BANK DAN PEMAJU

Ditulis Oleh Mageda Muda Mohd Nor

KUALA LUMPUR: Beratus ribu pembeli rumah di seluruh negara menjadi mangsa penipuan bank dan pemaju membabitkan kerugian sekitar RM20 bilion dalam tempoh 2004 hingga 2011 dakwa Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Pemaju perumahan gagal menyiapkan 200,000 unit rumah yang berharga antara RM100,000 dan RM300,000 seunit dari 2004 hingga 2011, kata ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Dalam tempoh tujuh tahun itu Bank Negara membenarkan bank-bank tempatan memilih sendiri pemaju untuk membangunkan projek perumahan kos rendah dan sederhana di seluruh negara, tambahnya.

"Kerana kerenah bank dan pemaju, rumah yang berharga RM100,000, pembeli terpaksa membayar hingga RM700,000. Pegawai bank khususnya peguam telah berpakat dengan pemaju untuk menganiayai pembeli.

"Ramai pembeli rumah yang tertipu datang mengadu kepada kita (PPIM). Proses untuk mendapat pembelaan di tribunal perumahan atau melalui proses mahkamah sangat lambat.

"Ini menyebabkan mereka menjadi muflis. Malah bank yang menawarkan perbankan secara Islam juga terbabit dengan penipuan ini.

"Hanya Maybank yang tidak terbabit dengan kes ini," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya.

Nadzim berkata, pihak pemaju perumahan menggunakan pelbagai helah untuk menipu pembeli, seperti membina sebuah rumah contoh dan memasang papan tanda di atas tanah tertentu.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana tanah berkenaan bukan milik syarikat itu malah tidak diketahui pemiliknya.

Ia berlaku kerana Bank Negara tidak memantau pihak bank perdagangan yang melantik pemaju untuk melaksanakan projek perumahan.

Bagaimanapun, pada 2011 Bank Negara telah membatalkan kebenaran pemaju tidak berdaftar melaksanakan projek perumahan setelah mendapat aduan orang ramai.

Menurut Nadzim lagi, projek perumahan tergendala kerana bank hanya memberikan sebahagian jumlah pembiayaan kepada pemaju perumahan.

"Sebagai contoh jika rumah berharga RM300,000, bank hanya meluluskan pinjaman RM50,000 ... bagaimanakah pemaju mahu menyiapkan projek mereka?

"Akhirnya pemaju cabut lari tetapi mereka sudah kutip wang pendahuluan daripada pembeli, kemudian nama pembeli disenaraihitam oleh bank atas alasan tidak bayar hutang.

"Atau bank bawa kes itu ke mahkamah untuk `mengbangkrapkan' mereka. Dalam kes seperti ini ada pakatan antara peguam bank dan syarikat pemaju perumahan," dakwa Nadzim.

Beliau menasihatkan pembeli rumah berhati-hati dengan permainan jahat pihak-pihak berkenaan yang semata-mata mencari keuntungan bertopengkan projek perumahan.