Thursday, October 8, 2015

SINAR HARIAN - 26/12/2013 - 'SAYA BIMBANG DIISYTIHAR MUFLIS'

Amir Hamzah (kanan) bersama Penasihat Guaman Pembela BN, Maridzuan Mohamad (dua, kanan) mengambil maklumat daripada Rozianah dan suaminya di Pejabat Pembela BN Melaka di Ayer Keroh, semalam.

AYER KEROH - Kerana terlalu percaya dengan pembeli, seorang suri rumah kini berdepan masalah apabila terpaksa menanggung tunggakan ansuran bulanan kereta selama 19 bulan.

Rozianah Hussin, 44, yang menetap di Bukit Katil berkata, sebelum ini, kereta jenis Proton Waja miliknya dijual kepada seorang pembeli menerusi cara sambung bayar.

Menurutnya, kereta bernombor pendaftaran QKS 916 itu dijual pada 7 Oktober 2011 menerusi sebuah syarikat menjual kenderaan terpakai di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan selepas suaminya, Azman Shamsuddin, 47, seorang pesara tentera mengalami masalah kesihatan dan memerlukan kos perubatan.

“Kereta itu, saya sudah pakai sejak 2006 lagi ketika suami bertugas di Sarawak. Pada mulanya saya ingin menjualnya dengan cara terus menukar nama tetapi selepas merujuk bank dan harga pasaran semasa, saya terpaksa mengeluarkan wang lagi sehingga RM7,000.

“Akibat tidak mampu dan keadaan terdesak ketika itu, saya terpaksa menjualnya dengan cara sambung bayar dengan seorang bekas anggota pasukan keselamatan yang dikenali sebagai Razmi beserta lengkap dengan surat perjanjian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan menjadi rumit apabila kereta tersebut sepatutnya perlu dibayar bulanan sebanyak RM580 sebulan tetapi sehingga kini ia sudah tertunggak selama 19 bulan menjadikan jumlah tunggakan keseluruhan berjumlah RM29,302.98.

Malah, katanya, dia gagal mengesan pembeli terbabit meskipun sudah berusaha mencarinya menerusi dokumen yang ada.

“Bimbang saya akan diisytiharkan muflis serta mahu melindungi nama penjamin dari disenarai hitam oleh bank, saya buat satu laporan di Balai Polis Bukit Baru kerana merasakan diri saya sudah tertipu dan teraniya.

“Saya juga bersedia mengusahakan untuk mengambil semula kereta berkenaan dan menyambung bayar kembali sekiranya kenderaan tersebut berjaya dijumpai,” katanya ketika membuat aduan kepada Pembela BN di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Abdul Aziz berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai agar dapat memberi maklumat di mana lokasi kenderaan itu berada.

“Kami juga akan mempertahankan supaya suri rumah yang teraniya ini mendapat pembelaan sewajarnya dengan melantik seorang peguam supaya dirinya tidak diisytihar muflis oleh bank terbabit,” katanya.

Monday, October 5, 2015

SINAR HARIAN - 26/1/2015 - TUJUH DITIPU SYARIKAT BELI KERETA

Peter Tan (empat, kiri) bersama tujuh mangsa yang ditipu syarikat berkenaan mohon pihak berkuasa bertindak segera.

KLANG – Hasrat tujuh mangsa menjual kereta mereka kepada sebuah syarikat menerusi 'online' berakhir dengan kerugian apabila ditipu dalam urus niaga tersebut. 

Syarikat yang dimiliki seorang peniaga berpangkat ‘datuk’ itu bukan sahaja gagal melunaskan bayaran, bahkan juga tidak menukar nama geran atau status kereta. 

Mangsa, Mohd Zainorizam Mohammad, 28, berkata, dia berhasrat menjual kereta jenis Perodua Myvi Se yang dibeli pada 2013 lalu dengan harga RM42,500. 

Menurutnya, dia mahu menjual kereta itu untuk membeli Honda Jazz, lalu mengiklankannya menerusi sebuah portal jual-beli pada 18 Oktober tahun lalu. 

"Dua hari lepas tu, saya terima panggilan daripada individu yang mahu beli kereta dan setuju bayar RM1,000, sekali gus saya tak payah buat penambahan pada bayaran. 

“Kami kemudiannya bertemu di pejabat syarikat itu di Jalan Pahang dan saya menerima bayaran. Selang beberapa jam, individu itu datang ke rumah saya di Seremban untuk ambil kereta dan beberapa dokumen. Saya ingat proses jual kereta termasuk tukar nama semua dah selesai,” katanya kepada Sinar Harian bersama enam lagi mangsa yang berdepan masalah sama tampil meluahkan perkara itu kepada aktivis masyarakat Klang, Peter Tan Hock Chai, semalam. 

Malangnya, Zainorizam yang juga penjawat awam berkata, beberapa minggu kemudian, dia terkejut menerima panggilan sebuah bank yang meminta menjelaskan bayaran bulanan kenderaan itu. 

Menurutnya, selang sebulan, bank yang sama masih menghubungi minta jelaskan bayaran dan dia mula menyedari yang proses menukar nama masih belum dibuat. 

“Risau berlaku perkara tidak sepatutnya, saya buat laporan polis di Balai Jalan Tun Razak, Wangsa Maju pada 20 Januari lalu. 

“Saya minta syarikat itu pulangkan semula kereta, tapi kos yang diminta tidak masuk akal hingga cecah RM5,780,” katanya. 

Khuatir masalah berlarutan, katanya, dia bersetuju untuk jelaskan bayaran itu pada syarikat tersebut. 

“Tapi mereka bagi syarat supaya saya tarik balik laporan polis. Lebih menyedihkan, saya terpaksa jelaskan bayaran bulanan kepada bank walaupun kereta hilang,” katanya. 

Seorang lagi mangsa, Lim Yee Boon, 30, berkata, dia turut mengiklankan di portal yang sama pada Jun tahun lalu untuk menjual kereta Mercedes Benz C180K dengan harga RM123,000. 

“Individu dari syarikat sama di Jalan Pahang hubungi saya untuk beli kereta ini dan pada bulan yang sama, kami jumpa untuk urusan pengambilalihan kereta. 

“Selepas urusan itu selesai, tiga bulan kemudian, pihak bank hubungi minta saya lunaskan bayaran bulanan kereta iaitu RM2,200 sebulan. 

“Saya terkejut dan baru sedar rupanya dokumen yang saya tandatangani itu palsu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak 21 Oktober 2014. 

Sementara itu, Peter Tan berkata, kesemua mangsa berjaya dikumpulkan selepas mereka bertemu menerusi Facebook. 

“Saya akan bersama-sama mangsa bawa kes ini ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut. Kami syak wujud ketirisan hingga kes mangsa gagal diselesaikan.,” katanya.