Thursday, October 8, 2015

SINAR HARIAN - 26/12/2013 - 'SAYA BIMBANG DIISYTIHAR MUFLIS'

Amir Hamzah (kanan) bersama Penasihat Guaman Pembela BN, Maridzuan Mohamad (dua, kanan) mengambil maklumat daripada Rozianah dan suaminya di Pejabat Pembela BN Melaka di Ayer Keroh, semalam.

AYER KEROH - Kerana terlalu percaya dengan pembeli, seorang suri rumah kini berdepan masalah apabila terpaksa menanggung tunggakan ansuran bulanan kereta selama 19 bulan.

Rozianah Hussin, 44, yang menetap di Bukit Katil berkata, sebelum ini, kereta jenis Proton Waja miliknya dijual kepada seorang pembeli menerusi cara sambung bayar.

Menurutnya, kereta bernombor pendaftaran QKS 916 itu dijual pada 7 Oktober 2011 menerusi sebuah syarikat menjual kenderaan terpakai di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan selepas suaminya, Azman Shamsuddin, 47, seorang pesara tentera mengalami masalah kesihatan dan memerlukan kos perubatan.

“Kereta itu, saya sudah pakai sejak 2006 lagi ketika suami bertugas di Sarawak. Pada mulanya saya ingin menjualnya dengan cara terus menukar nama tetapi selepas merujuk bank dan harga pasaran semasa, saya terpaksa mengeluarkan wang lagi sehingga RM7,000.

“Akibat tidak mampu dan keadaan terdesak ketika itu, saya terpaksa menjualnya dengan cara sambung bayar dengan seorang bekas anggota pasukan keselamatan yang dikenali sebagai Razmi beserta lengkap dengan surat perjanjian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan menjadi rumit apabila kereta tersebut sepatutnya perlu dibayar bulanan sebanyak RM580 sebulan tetapi sehingga kini ia sudah tertunggak selama 19 bulan menjadikan jumlah tunggakan keseluruhan berjumlah RM29,302.98.

Malah, katanya, dia gagal mengesan pembeli terbabit meskipun sudah berusaha mencarinya menerusi dokumen yang ada.

“Bimbang saya akan diisytiharkan muflis serta mahu melindungi nama penjamin dari disenarai hitam oleh bank, saya buat satu laporan di Balai Polis Bukit Baru kerana merasakan diri saya sudah tertipu dan teraniya.

“Saya juga bersedia mengusahakan untuk mengambil semula kereta berkenaan dan menyambung bayar kembali sekiranya kenderaan tersebut berjaya dijumpai,” katanya ketika membuat aduan kepada Pembela BN di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Abdul Aziz berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai agar dapat memberi maklumat di mana lokasi kenderaan itu berada.

“Kami juga akan mempertahankan supaya suri rumah yang teraniya ini mendapat pembelaan sewajarnya dengan melantik seorang peguam supaya dirinya tidak diisytihar muflis oleh bank terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment