Tuesday, September 29, 2015

MINGGUAN MALAYSIA - 6/9/2015 - HUTANG ISI RUMAH PADA TAHAP MEMBIMBANGKAN

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Hutang isi rumah Malaysia berada pada tahap membimbangkan apabila nisbahnya kini mencapai 87 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, peningkatan nisbah tersebut bakal menjejaskan kualiti kehidupan rakyat dan mampu memberikan kesan buruk kepada pertubuhan ekonomi Negara dalam jangka masa panjang jika tidak ditangani dengan segera.

Justeru katanya, amat penting bagi setiap masyarakat di Negara ini untuk merancang perbelanjaan dengan baik dan tidak menambah pinjaman sedia ada bagi mengukuhkan kedudukan kewangan mereka.

Tambah beliau, masyarakat juga digesa untuk segera mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) jika mula berhadapan dengan masalah menguruskan pembayaran hutang serta perbelanjaan seharian.

“Masalah kewangan kebanyakannya berpunca daripada hutang kad kredit dan pinjaman peribadi sehingga menjejaskan dua pinjaman utama lain seperti perumahan serta kereta yang menjadi keperluan sebenar mereka.

“Oleh itu rakyat perlu berani membuang ego masing-masing dengan berbelanja mengikut keperluan diri dan bertindak pantas mendapatkan bantuan AKPK sebelum dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak bank atau diisytiharkan bankrap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Bijak Wang anjuran Kementerian Kewangan dengan kerjasama AKPK di pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir; Pengurus Besar Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria dan Timbalan Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, Suhaili Ahmad.

Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan kini sedang melaksanakan pelbagai agenda transfomasi untuk menawarkan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia di samping membantu mengurangkan bebanan hutang yang terpaksa ditanggung mereka.

“Kita telah menyediakan pelbagai program pembanggunan termasuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam dengan membina lebih banyak stesen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di beberapa kawasan supaya rakyat mempunyai alternative mudah untuk ke tempat kerja tanpa perlu membuat pinjaman membeli kereta sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment