Wednesday, September 30, 2015

MINGGUAN MALAYSIA - 6/9/2015 - JANGAN TERPEDAYA PIHAK KETIGA SELESAIKAN HUTANG

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan perkhidmatan pihak ketiga bagi menyelesaikan masalah pinjaman kewangan sebaliknya berurusan secara terus dengan pegawai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir (gambar) berkata, terdapat ramai pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan memperoleh keuntungan ‘atas angin’ sedang perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka itu boleh dilakukan di pejabat AKPK secara percuma.

Katanya, modus operandi mereka ialah menawarkan bantuan perkhidmatan pengurusan kewangan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon dengan mengenakan bayaran sehingga 10 peratus daripada jumlah hutang pengguna secara tunai atau menggunakan kad kredit.

“Mereka menipu pengguna kononnya mampu membantu menstruktur semula pinjaman dan berunding dengan pihak bank namun mereka hanya mengumpulkan dokumen pelanggan dan kemudian menghantarkan semula kepada AKPK,” ujarnya.

“Justeru, kami menasihatkan mereka yang ingin mendapatkan bantuan menyelesaikan hutang untuk terus ke pejabat kami tanpa perlu merugikan wang membayar pihak ketiga ini kerana hanya AKPK yang mempunyai akses untuk membuat sebarang rundingan bersama pihak bank,” katanya.

No comments:

Post a Comment