KUALA LUMPUR 25 Sept. - Petronas
Dagangan Berhad (PDB) digesa tidak menganaktirikan usahawan bumiputera terutama
dalam memberi peluang perniagaan di rangkaian Kedai Mesra Petronas demi
mencapai keuntungan semata-mata.
Ketua aktivis Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu dilihat
tersasar jauh daripada hasrat kerajaan memperkasa ekonomi kaum Melayu dan
bumiputera seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
baru-baru ini.
"Tidak ramai usahawan bumiputera
menghantar produk mereka untuk dijual di Kedai Mesra Petronas kerana tidak
mampu membayar yuran penyenaraian yang mahal.
"Walau bagaimanapun, kita
menerima aduan daripada salah seorang pembekal sedia ada yang sudah membekalkan
produk lebih lima tahun lalu tetapi cuba disingkirkan pihak syarikat itu
sendiri untuk memberi laluan kepada pengusaha luar," katanya dalam sidang
akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha
Agung Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPNBM),
Datuk Dr. Mohd Noor Ali Akbar dan Aktivis PPIM, Sheikh Abd. Kareem Sheikh
Khadaied.
Menurut Nadzim, aduan diterima
pihaknya langsung tidak mencerminkan peranan PDB sebagai anak syarikat di bawah
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang juga merupakan syarikat milik
kerajaan (GLC).
Berdasarkan pemantauan pihaknya
di Lembah Klang misalnya, kata beliau, terdapat kira-kira lima peratus sahaja
usahawan bumiputera yang membekalkan produk mereka di Kedai Mesra Petronas.
"Ini tidak termasuk bilangan
premis perniagaan yang diperuntukkan Petronas di gedung beli-belah miliknya
seperti Suria KLCC dan Alamanda yang rata-rata disewa peniaga antarabangsa
berbanding bumiputera," katanya.
Menurut beliau, Petronas
seharusnya mempunyai rangka kerja lebih teliti dalam usaha membantu golongan
berkenaan dengan memberi peluang berkembang maju dalam bidang ekonomi.
Sehubungan itu, pihaknya mahu PDB
memberi penjelasan berhubung isu itu, selain berharap kerajaan dapat mengambil
tindakan tegas membela nasib ekonomi bumiputera.
Artikel menarik :
BATIK SUTERA ASLI HARAM DIPAKAI LELAKI ISLAM
Artikel menarik :
BATIK SUTERA ASLI HARAM DIPAKAI LELAKI ISLAM
No comments:
Post a Comment